Tentang NCDP 1Malaysia


1.0       PENGENALAN

Penyakit-penyakit akibat gaya hidup yang tidak sihat seperti penyakit jantung dan diabetes semakin meningkat di Malaysia. Penyakit jantung merupakan sebab utama kematian pesakit di hospital kerajaan, iaitu 16.1% dari jumlah kematian pada 2009. Manakala pada tahun 2006 sahaja dianggarkan lebih kurang 1.5 juta rakyat Malaysia mengidapi penyakit diabetes, dan 4.8 juta rakyat Malaysia mengidap penyakit darah tinggi. Penyakit-penyakit kronik seperti ini banyak ditentukan oleh gaya hidup yang tidak sihat, seperti kurang bersenam, amalan pemakanan yang tidak sihat, tabiat merokok dan lain-lain. Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini menganggap beban penyakit akibat penyakit NCD telah menjadi satu wabak penyakit di peringkat global yang perlu ditangani dengan segera dan efektif.

Pertambahan perbelanjaan program kesihatan terutamanya di peringkat kuratif memberikan impak yang negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Bagi menangani beban penyakit NCD secara efektif, KKM telah menghasilkan Pelan Strategik Nasional Bagi Penyakit Tidak Berjangkit”, atau NSP-NCD, yang mengandungi tujuh strategi utama :

1)    Promosi kesihatan
2)    Pengurusan klinikal
3)    Memperkasakan pesakit
4)    Tindakan bersama dengan badan bukan kerajaan (NGO)
5)    Pemantauan, kajian dan survelan
6)    Bina insan
7)    Intervensi polisi dan peraturan-peraturan

NSP-NCD dirangka dengan memberi penekanan secara holistik, bukan setakat peranan kerajaan, tetapi juga peranan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan rakyat amnya bagi mengambil bahagian di dalam program ini. Ia merupakan pendekatan pelbagai sektor dan memberi fokus kepada pencegahan penyakit melalui amalan gaya hidup seperti diet yang sihat, aktiviti fizikal dan kawalan tembakau.

Beban penyakit NCD menjadikan tanggungjawab perkhidmatan kesihatan bertambah berat dan melibatkan perbelanjaan yang besar serta semakin meningkat setiap tahun. Di samping menyediakan dan memberikan rawatan-rawatan yang sewajarnya, perkara paling penting yang perlu diberi keutamaan ialah tanggungjawab membimbing masyarakat, supaya dapat memperkasakan diri dan seterusnya bertanggungjawab dalam penjagaan  kesihatan diri dan amalan gaya hidup sihat bagi diri sendiri, anggota keluarga dan seterusnya komuniti mereka.

Sehubungan dengan itu, program intervensi faktor risiko penyakit NCD yang akan dijalankan ini bukan hanya melibatkan Kementerian Kesihatan semata-mata namun juga setiap NGO berkaitan dan segenap lapisan masyarakat.


2.0       OBJEKTIF

Objektif utama Intervensi Faktor Risiko Penyakit NCD (1 Daerah 1 Intervensi NCD) adalah untuk menangani faktor risiko NCD secara berkesan, dengan menggunakan obesiti sebagai entry point, untuk mengurangkan beban penyakit NCD di Malaysia.

Objektif-objektif khusus adalah seperti berikut:

i.              Meningkatkan liputan saringan faktor risiko NCD untuk mengesan individu yang mempunyai faktor risiko NCD pada peringkat awal;
ii.            Melaksanakan intervensi faktor risiko NCD di kalangan populasi yang berisiko di 3 setting, iaitu setting komuniti, sekolah dan tempat kerja, secara berterusan;
iii.           Mengurangkan prevalen faktor risiko penyakit NCD;
iv.           Mengurangkan beban penyakit NCD di Malaysia.


2.0       SKOP PELAKSANAAN

Bagi Fasa Pertama, Intervensi Faktor Risiko Penyakit NCD (1 Daerah 1 Intervensi NCD) akan dilaksanakan seperti berikut:

i.              Intervensi akan dilakukan dalam 3 setting (komuniti, sekolah dan tempat kerja)
ii.            Obesiti akan digunakan sebagai entry point
iii.           Setiap daerah diberikan pilihan untuk setting bagi pelaksanaan
iv.           Setiap daerah perlu melaksanakan sekurang-kurangnya satu intervensi dalam satu setting khusus
v.            Pihak KKM Putrajaya akan menyediakan pakej-pakej dan modul-modul latihan bagi pelaksanaan mengikut setting
vi.           Pakej intervensi perlu diadaptasi oleh setiap daerah bagi pelaksanaan mengikut keperluan setempat
vii.          Pakej intervensi perlu melibatkan semua stakeholder yang terlibat, di luar sektor kesihatan; namun begitu, anggota kesihatan perlu memainkan leadership role