Monday 28 November 2011

Program Intervensi Mengawal Penyakit NCD Puncak Arabella 2010






Salam NCDP 1Malaysia,

Seiring dengan kemajuan teknologi pada masa kini, corak kehidupan masyarakat telah berubah. Tekanan hidup dan amalan kehidupan yang tidak sihat telah menyebabkan terjadinya pelbagai jenis penyakit seperti masalah jantung , darah tinggi dan diabetis. Salah satu punca utama yang menyebabkan penyakit-penyakit tersebut adalah kerana masalah obesiti ataupun kegemukan. Ia merupakan faktor risiko yang menyumbang kepada pelbagai jenis penyakit kronik lain. Fenomena ini bukan sahaja terjadi kepada dewasa tetapi juga ketara dikalangan remaja dan kanak-kanak.

Penyakit-penyakit akibat gaya hidup sihat seperti penyakit jantung merupakan sebab utama kematian pesakit di hospital kerajaan iaitu 16.1% dari jumlah kematian pada 2009. Manakala pada tahun 2006 sahaja dianggarkan lebih kurang 1.5 juta rakyat Malaysia mengidap penyakit diabetis dan 4.8 juta rakyat malaysia mengidap penyakit darah tinggi.

Penyakit-penyakit kronik ini banyak ditentukan oleh gaya hidup yang tidak sihat seperti kurang bersenam, amalan pemakanan yang tidak sihat, obesiti, tabiat merokok, pengambilan alkohol dan lain-lain lagi. Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia ( WHO ) kini telah menganggap beban penyakit NCD telah menjadi satu wabak penyakit diperingkat global yang perlu ditangani dengan segera dan efektif.


Justeru itu Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM ) telah menghasilkan Pelan Strategik Nasional Bagi Penyakit Tidak Berjangkit atau NSP-NCD bagi menangani beban penyakit NCD secara efektif. Pelan ini dirangka dengan memberi penekanan secara holistik dimana Badan Bukan Kerajaan ( NGO ) dan komuniti amnya akan mengambil bahagian didalam program ini.

Program Intervensi Penyakit NCD ini akan memberi fokus kepada pencegahan penyakit melalui amalan gaya hidup sihat seperti diet yang sihat, aktiviti fizikal dan kawalan tembakau. Keutamaan program ini ialah tanggungjawab membimbing masyarakat supaya dapat memperkasakan diri dan seterusnya bertanggungjawab dalam penjagaan kesihatan diri dan amalan gaya hidup sihat bagi diri sendiri, anggota keluarga dan seterusnya komuniti mereka.

Bagi merealisasikan objektif utama Intervensi Faktor Risiko Penyakit NCD ( 1 Daerah 1 Intervensi NCD ), Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands dengan kerjasama Ahli Panel Penasihat Kesihatan telah memilih Setting Komuniti "Komuniti Sihat Cergas Ceria" yang telah dilancarkan pada 11 Disember 2010 oleh Y.B. En. Ho Yip Kap, ADUN Tanah Rata bertempat di komuniti Puncak Arabella dengan tema "fight obesity, empower yourself" untuk Fasa I.

Penduduk Cameron Highlands adalah seramai 33,400 orang dengan kebanyakkan penduduknya adalah pekebun dan tahap pendidikan adalah sederhana. Komuniti Puncak Arabella pula adalah berjumlah 1017 orang dengan 300 buah rumah. Pecahan etnik dikawasan ini adalah Melayu 57.0%, India 23.0%, Cina 19.0% dan lain-lain 1.0%.

Pemilihan kawasan perumahan ini adalah berdasarkan kepada konsep 1Malaysia yang mana penduduknya terdiri dari pelbagai etnik, pekerjaan serta tahap aktiviti fizikal. Selain itu, kawasan ini belum pernah dibuat program saringan kesihatan sebelum ini. Lokasi ini terletak di bandar Tanah Rata yang mana terdapat kemudahan awam seperti sekolah, hospital, jabatan-jabatan kerajaan, kemudahan institusi kewangan, peruncitan, kemudahan awam, tempat beriadah serta jaringan jalanraya yang baik.

Seramai 10 sukarelawan yang telah dilatih membantu membantu menjalankan program tersebut.

Aktiviti-aktiviti yang diadakan semasa pelancaran tersebut adalah seperti berikut :-
i) Senamrobik
ii) Kaunter Saringan Kesihatan
iii) Pameran Kesihatan
iv) Kaunter Pemeriksaan Gigi
v) Aktiviti Sukan
vi) Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak
v) Pakaian Beragam Kanak-Kanak

Jumlah peserta yang berjaya disaring adalah seramai 158 orang dan bilangan peserta yang berfaktor risiko berminat untuk menyertai projek intervensi NCD ( sukarela ) adalah seramai 44 orang.

NCDP 1Malaysia Community - Puncak Arabella Fasa I













No comments:

Post a Comment