Wednesday 16 November 2011

sihatkah kita?.... Cegah sebelum terlambat...

Apa yang saya paparkan disini adalah petikan kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia sempena Hari Diabetes Sedunia.


Bilangan rakyat Malaysia yang menghidap diabetes terus meningkat setiap tahun. Pada tahun 2006, dianggarkan kira-kira 1.5 juta rakyat Malaysia dewasa hidup dengan diabetes. Malangnya keputusan awal Survei Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (National Health and Morbidity Survey atau NHMS) 2011 yang bakal diterbitkan pada bulan Disember 2011 menunjukkan bilangan ini kini telah mencapai lebih 3 juta rakyat Malaysia, hanya dalam tempoh 5 tahun sahaja. Apa yang lebih merisaukan Kementerian Kesihatan dan saya sendiri adalah bilangan rakyat Malaysia yang mempunyai kandungan gula dalam darah yang tinggi tetapi masih belum diperiksa oleh doktor, iaitu kira-kira 2 juta individu dewasa. Ini menunjukkan bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang masih belum melakukan ujian saringan kesihatan secara tetap dan berkala.


Diabetes adalah satu penyakit yang senyap (silent disease) pada peringkat awal. Saya ingin menekankan bahawa majoriti individu dengan diabetes tidak mengalami sebarang gejala, kadang-kala sehingga 7-10 tahun dari penyakit mula terjadi. Namun begitu, jika individu tersebut menjalani ujian saringan kesihatan secara tetap, keputusan gula dalam darah yang tinggi mampu dikesan dari tahun pertama penyakit diabetes bermula. Jika diabetes dibiarkan berlanjutan tanpa dikesan, penyakit ini lebih sukar untuk dikawal dan risiko komplikasi diabetes seperti kebutaan, sakit jantung, kegagalan buah pinggang dan mati pucuk adalah tinggi.


Selaras dengan tema Hari Diabetes Sedunia di peringkat global, “Act on Diabetes Now”, iaitu “Cegah Diabetes: Bertindaklah Sekarang”, saya ingin menasihati semua rakyat Malaysia mengenai faktor-faktor risiko utama diabetes:

  • Mempunyai sejarah ahli keluarga menghidap diabetes
  • Berlebihan berat badan atau obes (BMI >23.0 kg/m2)
  • Menghidap hipertensi
  • Mempunyai tahap kolesterol yang tinggi
  • Gaya hidup yang sedentari atau tidak aktif
  • Bagi wanita yang mempunyai sejarah diabetes semasa mengandung (atau gestational diabetes)
Sekali lagi, saya ingin menyarankan semua rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun dan ke atas untuk menjalani ujian saringan faktor risiko NCD (non-communicable disease atau penyakit tidak berjangkit) setiap tahun. Ujian saringan asas ini merangkumi pemeriksaan tekanan darah, aras gula dan kolesterol dalam darah, pemeriksaan BMI (body mass index) dan ukurlilit pinggang. Namun begitu, jika anda mempunyai sebarang faktor risiko di atas, maka anda perlu mula menjalani ujian saringan seawal umur 20 tahun.


Perkhidmatan saringan bagi faktor risiko NCD untuk individu-individu yang sihat terdapat di semua klinik-klinik kesihatan kerajaan dan swasta di seluruh Malaysia. Selain dari itu, perkhidmatan saringan turut ditawarkan semasa kebanyakan majlis atau program di dalam komuniti anjuran Kementerian Kesihatan, lain-lain Agensi Kerajaan dan juga pihak swasta.


Dalam pada itu, tahap penjagaan penyakit bagi mereka yang telah disahkan mengidap diabetes dan penyakit NCD yang lain juga tidak memuaskan. Data Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa bagi penghidap diabetes yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan KKM, dianggarkan kira-kira hanya satu dari lima pesakit mencapai sasaran gula dalam darah yang baik (keputusan ujian HbA1c kurang dari 6.5%); dua dari lima pesakit mencapai sasaran tekanan darah yang optimum; satu dari empat pesakit mencapai sasaran tahap kolesterol yang baik; dan hanya satu dari enam pesakit berada di tahap BMI yang ideal. Penghidap diabetes yang mendapatkan rawatan perlu mencapai sasaran kawalan yang baik bagi mengurangkan risiko kejadian komplikasi akibat diabetes seperti gangrene dan amputasi, septicaemia dan kegagalan buah pinggang. Selain dari memakan ubat atau menggunakan insulin mengikut nasihat doktor, semua penghidap diabetes perlu mempelajari dan mengamalkan tabiat pemakanan yang sesuai mengikut tahap penyakit yang dihadapi serta mengamalkan aktiviti fizikal dan senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.


Tanggungjawab melindungi kesihatan anda dan keluarga anda terletak di tangan anda sendiri. Bertindaklah sekarang.


DATO’ SRI DR HASAN BIN ABDUL RAHMAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Jadi, di manakah tahap kesihatan kita semua. Moh ler kite sama-sama pi check. =)


No comments:

Post a Comment